
BANDAR SERI BEGAWAN - Ahad, 13 September 2020 - Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei (PGGMB) hari ini mengadakan Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat Agung Perwakilan PGGMB Kali Ke-70, Sesi 2019-2020, bertempat di Dewan Sekolah PGGMB Sungai Akar. Majlis dirasmikan oleh Tetamu Kehormat Majlis, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Setia (DR.) Haji Awang Abu Bakar bin Haji Apong, Menteri Hal-Ehwal Dalam Negeri, Negara Brunei Darussalam. Ucapan alu-aluan disampaikan oleh Cikgu Haji Yussof Bin Haji Mohamad, Yang Dipertua PGGMB, selaku Pengerusi Majlis.


Kira-kira 200 orang ahli-ahli menghadiri majlis tersebut, termasuk Ahli-Ahli Perwakilan yang mewakili enam (6) Zons daripada seluruh negara. Turut dijemput ialah mantan ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi PGGMB yang berkhidmat dengan persekutuan seawal tahun 1986. Majlis juga dihadiri oleh guru-guru besar dan guru-guru daripada sekolah-sekolah PGGMB.

Mesyuarat Agung Perwakilan Ke-70, 2019-2020, diadakan sejurus selepas majlis pembukaan rasmi. Jumlah ahli-ahli perwakilan tahun ini dihadkan kepada 66 orang sahaja disebabkan oleh COVID-19. Secara tradisi, agenda dimulakan dengan pembentangan Laporan Tahunan oleh Setiausaha Agung dan Setiausaha Kewangan, disusuli dengan laporan Kunci Kira-Kira oleh Ketua Pemeriksa Kira-Kira. Bebarapa pindaan perlambagaan Tahun 2020 juga dibentangkan serta pemakluman undang-undang baharu dalam bahagian-bahagian PGGMB. Mesyuarat diakhiri dengan Sesi Soal-Jawab.

Persekutuan Guru-Guru Melayu Brunei ditubuhkan dalam tahun 1939 sebagai sebuah persekutuan kebajikan dan profesional. Jumlah keahlian yang berdaftar sekarang ialah lebih kurang 2,900 orang.
